Monday, 16 April 2012

Bagaimana Acuan Begitulah Kuihnya.


Maksud peribahasa melayu ini ialah perangai atau wajah seseorang anak itu tak ubah seperti bapanya atau ibunya. Ini tidak kiralah dari sudut positif mahupun negatif. Maksud lainnya keadaan sesuatu itu menurut asalnya. Walau bagaimanapun, setiap sesuatu itu jika dipupuk dengan kasih dan sayang pasti akan menghasilkan sesuatu yang lebih baik khasnya dalam mendidik anak-anak.
Dalam hal yang lain, atau spesifik lagi dalam pembikinan kek, kuih-muih dan juga masakan-masakan yang lain, sememangnya jika itu acuan yang kita gunakan itulah hasil yang akan kita dapat. Bagaimanapun dalam dunia yang serba moden ini, dan hasil kreativiti seseorang, walaupun acuan yang digunakan adalah acuan yang biasa tetapi ia boleh menghasilkan sesuatu yang luarbiasa, menarik dan ada yang di luar pemikiran orang lain.
Maaf andai pendahuluan ini agak panjang. Tetapi apa yang ingin saya sampaikan kali ini adalah mengenai kek yang saya buat minggu lepas. Kebetulan minggu lepas, adik ipar saya membuat majlis aqiqah & berendoi untuk anak keduanya. Memandangkan anak saya semua lelaki dan anak pertama adir ipar saya juga lelaki, saya rasa inilah masa yang sesuai untuk saya membuat eksperimen dengan menghasilkan kek princess buat cucu perempuan sulung dalam keluarga suami saya.
Pada permulaannya saya ingin menghasilkan hanya sebiji kek princess. Tetapi pada hari khamis, tekak saya terlalu mengingikan kek buah seperti yang pernah k.intan (Masam Manis) pernah hasilkan. Jadi saya menjadikan kek buah sebagai kek di bahagian bawah.
Kek yang menjadi pakaian princess pula adalah kek coklat. Kek coklat itu saya tidak menggunakan acuan khas, tetapi hanya menggunakan acuan bulat biasa yang kecil mungkin 5 atau 6 inci, saya buat tiga biji kek dan bahagian atas itu saya ukir mengikut bentuk yang bersesuaian.
Untuk entri kali ini saya hanya sempat untuk menulis sedikit pendahuluan dan beberapa keping gambar sebagai tatapan. Untuk resepi akan saya susuli dalam entri akan datang. Enjoy!!





Saturday, 7 April 2012

Salam Perkenalan

Assalammualaikum.

Salam perkenalan buat semua. Saya minta maaf sekiranya kehadiran saya dalam dunia blog terutamanya blog masakan ini tak disenangi. Sesungguhnya bukan lah untuk bersaing, menunjuk-nunjuk atau sebagainya. Cuma ingin berkongsi ilmu dan menambah kenalan. 

Sebagai entri permulaan ini saya tampilkan resepi dari ibu saya, mungkin juga resepi ini diperolehi dari adik ipar ibu saya (makcik saya la) yang memang pakar memasak. Mungkin juga ramai yang pakar membuat kek chiffon tapi ini versi ibu saya ye. Saya ambil resepi ini hasil tulis tangan ibu saya tanpa cara-cara membuatnya. Tapi saya olah sehingga saya mahir membuatnya. (err mula-mula tu payah juga).
Ok. Ini resepinya.


Kek Chiffon Pandan


Bahan A


2 ¼ cwn tepung Softasilk (saya guna tepung hongkong)
1 sdt baking powder
½ sdt garam
1 cwn gula (saya guna gula castor)
½ cwn minyak jagung
8 biji kuning telur
¾ cwn santan (saya guna santan KARA) + air pandan*
½ sdt pewarna hijau


Bahan B

8 biji putih telur
½ sdt cream of tartar
½ cwn gula


Cara-caranya: 
1.Panaskan oven 160C. Sediakan acuan chiffon saiz 24cm.
2.Ayakkan tepung, baking powder dan garam. Ketepikan.
3.Pukul telur kuning bersama gula sehingga gula hampir larut.
4.Masukkan campuran santan dan air pandan, Cara saya, 2/4 bahagian santan, 1/4 bahagian air pandan kemudian campurkan pewarna hijau. Gaulkan  dan masukkan ke dalam adunan tadi. 
5.Kemudian campurkan tepung yang sudah di ayak tadi. Setelah sebati dan kembang masukkan minyak jagung.

6.Putih telur dipukul hingga kembang. Kemudian masukkan cream of tartar dan gula. Pukul sehingga adunan kaku. Saya selalu terbalikkan mangkuk sehingga adunan tak jatuh. 


Ambil 1/3 adunan putih telur campurkan ke dalam adunan tepung, gaulkan sedikit sehingga ia bergaul kemudian barulah habiskan adunan putih telur dan masukkan ke dalam adunan tepung.
Gaul sehingga sebati tetapi jangan "overmix". 



* air pandan- ambil beberapa helai daun pandan kisar bersama sedikit air.

Oleh kerana saya menggunakan oven kecil, saya akan kecilkan api setelah kek saya naik mengembang sehingga kek masak agar tidak hangus.


Selamat mencuba!


AK-Hmm ada lagi ke tepung softasilk?? Siapa pernah jumpa??